Tuesday, 5 November 2013

Mengenal Allah Melalui Allah


BAGAIMANA CARANYA HENDAK MENGENAL ALLAH MELALUI ALLAH
Nabi Muhammad S.A.W. pernah bersabda:
عَرَفْتُ رَبِّيْ بِرَبِّيْ
Aku mengenali Tuhanku dengan Tuhanku
Bagaimana kita nak memahami sabdaan Nabi ini? Kerana Nabi Muhammad S.A.W. apabila baginda bersabda, kalamnya bersifat himpunan kalam.
عَنْ خَالِدِ بْنِ عَرْفَطَةَ ، قَالَ : كُنْتُ جَالِسًا عِنْدَ عُمَرَ ... فَذَكَرَ حِكَايَةً طَوِيلَةً إِلَى أَنْ قَالَ : فَقَالَتِ الأَنْصَارُ : أَغْضَب نَبِيَّكُمْ صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم !! السِّلاَحَ السِّلاَحَ ، فَجَاؤُوا حَتَّى حَدقُوا بِمِنْبَرِ رَسُولِ الله صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم ، فَقَالَ : يَأَيُّهَا النَّاسُ ، إِنِّي قَدْ أُوتِيتُ جَوَامِعَ الْكَلِمِ وَخَوَاتِيمَهُ ، وَاخْتَصَرَ لِي الْكَلاَمَ اخْتِصَارًا .
Dari Khalid bin ‘Arqathoh dia berkata: aku pernah duduk di sisi Umar, maka dia menyebut satu hikayat yang panjang sehingga dia berkata: Maka berkata kau Ansor : Nabi kita marah !! senjata senjata, maka mereka datang sehingga mereka mengelilingi mimbar Rasulullah S.A.W. maka bersabda Nabi: Wahai sekelian manusia! Aku sesungguhnya diberikan himpunan perkataan dan penutupnya dan di pendekkan bagiku kalam sebagai yang pendek.
Berdasarkan hadis ini, fahamlah kita bahawa Nabi S.A.W itu tidak memerlukan perkataan yang banyak untuk menyatakan idea yang banyak. Hanya beberapa perkataan sahaja sudah merangkumi semua idea yang beratus ribu idea.
Jadi apa maksud Nabi dengan sabda baginda “Aku mengenali Tuhanku dengan Tuhanku”. Ucapan yang pendek tapi mendalam pengertiannya. Hanya mereka yang memiliki mata basiroh iaitu mata hati yang ada pada diri batinnya sahaja yang dapat merungkai maksud sabdaan baginda S.A.W. Mereka yang tidak mempunyai mata hati, tak mungkin memahami kiasan di sebalik sabda Nabi itu.
Nabi S.A.W. juga pernah bersabda :
مَنْ عَرَفَ نَفْسَهُ فَقَدْ عَرَفَ رَبَّهٌ وَمَنْ عَرَفَ رَبَّهُ فَسَدَ الـجَسَدُ
Barang siapa mengenali dirinya maka sesungguhnya dia telah pun mengenali Tuhannya dan barang siapa telah mengenali Tuhannya binasalah jasad
Apa erti kalam nubuwah ini?  Apa makna mengenal diri? Sehingga apabila kita mengenal diri kita akan membawa kita kepada mengenal Allah.Pertama-tama sebelum kita mengenali Allah, kita dikehendaki untuk mengenal diri kita sendiri. Persoalannya diri kita yang mana satu?
Tok Kenali mengajar anak muridnya kiasan tidur dan mimpi. Apabila kita memahami kiasan tidur dan mimpi, membawa kita mengenali diri kita sendiri. Sewaktu kita tidur, manakah dia kekuatan kita? Manakah dia nama kita? Sewaktu kita tidur, kita berada dalam genggaman Allah. Sehingga kita tak mampu mempertahankan harta kita jika harta kita nak dirompak oleh orang lain. Bahkan badan dan tubuh kita pun tak mampu kita pertahankan. Kita sebenar-benarnya tiada daya upaya dan tiada kekuatan serta tiada kehendak sama ada ketika kita tidur ataupun kita jaga. Inilah pengertian dari sabdaan Nabi dalam hadis berikut:
عَنْ أَبِي ذَرٍّ قَالَ : أَتَيْتُ النَّبِيَّ صَلَّى الله عَلَيه وسَلَّم وَهُوَ فِي الْمَسْجِدِ ، فَجَلَسْتُ إِلَيْهِ ، فَقَالَ : يَا أَبَا ذَرٍّ : فَقُلْتُ : لَبَّيْكَ فَقَالَ : أَصَلَّيْتَ ؟ قُلْتُ : لاَ قَالَ : قُمْ فَصَلِّ ، فَصَلَّيْتُ ثُمَّ أَتَيْتُهُ ، فَجَلَسْتُ إِلَيْهِ ، فَقَالَ : يَا أَبَا ذَرٍّ ، اسْتَعِذْ بِالله مِنَ شَيَاطِينِ الْجِنِّ وَالإِنْسِ ، قُلْتُ : وَهَلْ لِلإِنْسِ شَيَاطِينُ ؟ قَالَ : نَعَمْ يَا أَبَا ذَرٍّ ثُمَّ قَالَ : أَلاَ أَدُلُّكَ عَلَى كَنْزٍ مِنْ كُنُوزِ الْجَنَّةِ ، قُلْتُ : بَلَى يَا رَسُولَ الله بِأَبِي أَنْتَ وَأُمِّي ، قَالَ : قُلْ لاَ حَوْلَ وَلاَ قُوَّةَ إِلاَّ بِالله ، فَإِنَّهَا مِنْ كُنُوزِ الْجَنَّةِ
Dari Abi Zhar dia berkata: Aku mendatangi Nabi S.A.W. sedang baginda berada dalam masjid maka aku duduk dekatnya, maka baginda bersabda: Wahai Abu Zhar! Aku berkata: Labbaika Maka baginda bersabda: Sudahkan kamu bersolat?  Aku berkata: Belum Baginda bersabda: bangun maka bersolaylah, maka aku pun menunaikan solat kemudia aku mendatanginya, maka aku duduk di sisinya. Maka baginda bersabda: “ Wahai Aba Zhar mintalah kepada Allah perlindungan dari syaitan jin dan syaitan manusia! Aku berkata: dan adakah bagi manusia itu syaitan? Baginda bersabda Ya wahai Aba Zhar. Kemudian baginda bersabda: Mahukah kamu aku tunjukkan kamu satu perbendaharaan dari  perbendaharaan- perbendaharaan syurga? Aku berkata : Bahkan wahai Rasulallah demi bapaku, kamu dan juga ibuku.Sabda baginda: Sebutlah LA HAWLA WALA QUWWATA ILLAH BILLAH maka sesungguhnya ia adalah dari perbendaharaan- perbendaharaan syurga.
Daripada hadis di atas baginda S.A.W. mengajar Abu Zhar al-Giffari r.a. satu kiasan cara mengenal diri, iaitu sebenar-benar diri kita tiada daya upaya sama ada ketika kita jaga mau pun ketia kita tidur. Dalam pelajaran Ilmu Tauhid, pada tajuk 20 sifat yang wajib bagi Allah. Di mana kita di ajar oleh guru-guru kita bahawa hanya Allah sahaja yang wajib ada. Sementara sifat yang berlawanan dengan sifat yang wajib bagi Allah adalah merupakan sifat sebenar kita. Allah wajib ada dan kita pula wajib tiada.
Apabila kita mengenali diri kita ini kita akan mengetahui bahawa diri kita ini tiada daya upaya dan tiada kekuatan. Dan kita ini adalah faqeer  di sisi Allah sebagaimana Firman Allah dalam Surah  Fathir ayat 15:
* $pkšr'¯»tƒ â¨$¨Z9$# ÞOçFRr& âä!#ts)àÿø9$# n<Î) «!$# ( ª!$#ur uqèd ÓÍ_tóø9$# ßÏJysø9$# ÇÊÎÈ
15. (oleh kerana Allah Menguasai segala-galanya, maka) Wahai umat manusia, kamulah yang faqeer  kepada Allah (yang sentiasa berhajat kepada Allah dalam segala perkara), sedang Allah Dia lah sahaja Yang Maha Kaya, lagi Maha Terpuji.
Apabila kita tiada daya upaya dan kekuatan, maka bagaimanakah kita hendak mengenali Allah? Dengan kekuatan mana kita dapat mengenali Allah? Maka difahami di sini, kita sama sekali tak akan mampu untuk mengenali Allah.
Bagaimana nak fahami erti kiasan ini?
Kita boleh sebut juga berdasarkan hadis di atas iaitu :
مَنْ عَرَفَ نَفْسَهُ فَقَدْ عَرَفَ رَبَّهٌ
Barang siapa mengenali dirinya maka sesungguhnya dia mengenali Tuhannya
Barang siapa mengenali dirinya maka sesungguhnya dia telah menyembah Tuhannya
Barang siapa mengenali dirinya maka sesungguhnya dia telah mengingati Tuhannya
Barang siapa mengenali dirinya maka sesungguhnya dia telah sempurna memuji Tuhannya.
Hakikat diri kita ini adalah tiada daya upaya dan tiada kekuatan. Jika kita menyebutkan bahawa kitalah yang menyembah Allah, itu adalah terlalu mustahil, sebab kita tak wujud sebenar-benarnya dan kita tiada daya upaya dan kekuatan serta kehendak. Maka sewaktu kita bersolat sebenar-benar yang bersolat dan menyembah Allah itu adalah Allah sendiri. Allah lah yang menyembah diri-Nya sendiri. Kita hanya alat sahaja. Seumpama sebatang pena yang digunakan oleh penulis untuk menulis sajak atau puisi memuji dirinya. Sebagai pena yang digunakan oleh penulis, tak layak mendabik dada mengatakan bahawa pena lah yang menulis semua puisi dan sajak itu. Kerana pena itu jika penulis tak angkat dan tak gerakkannya masakan dia boleh menulis?
Begitulah dengan diri kita ini tak ada kekuatan dan kehendak sewaktu kita mampu berdiri dan menggerakkan anggota kita melakukan semua amalan dalam solat, sebenarnya kekuatan dan kehendak itu adalah milik Allah.
Maka begitulah dengan nak mengenal Allah. Mana mungkin kita dapat mengenal Allah dengan kekuatan ingatan kita. Kita mana ada kekuatan ingatan sebab kita tak wujud dan tiada daya upaya. Maka Allah lah Yang Mengenali dirinya sendiri. Sebagaimana Allah lah yang menyembah dirinya sendiri dan kita ini adalah alat atau tool yang Dia gunakan untuk memuja, memuji dan menyembah-Nya.
Sebenarnya bukannya kita yang mengenali Allah, sebagaimana bukannya kita yang menyembah dan memuji Allah. Yang mengenal, memuja, memuji dan mengabdikan diri itu adalah Allah jua.
Maka oleh kerana itu, kita hendaklah menyerah kembali segala-galanya kepada Allah. Dalam erti kata jangan kita mengaku bahawa kitalah yang mengenal mengingat, menyembah Allah.Kita tak layak memakai pakaian Allah. Hanya Allah sahaja yang layak mengenali Diri-Nya bukannya kita yang mengenali Diri-Nya.
Apabila kita sampai ke garisan penamat ilmu makrifat ini, dan kita “rasa” bahawa kita tiada daya upaya, maka meletup dan meledak “La hawla Wala Quwwata illa billah”.  Dengan sebab itu maka lahirlah ucapan yang tidak difahami oleh orang awam, iaitu ucapan : “AKU TIDAK ADA” “AKU MANA ADA” “BUKAN AKU YANG BAWA KERETA ITU, ALLAHLAH YANG MEMANDU KERETA ITU”
Ucapan-ucapan seperti ini jika didengar oleh orang yang jiwanya sarat dengan cinta kepada dunia dan bencikan maut, akan muncullah dari bibir mereka tuduhan melulu terhadap orang yang mengucapkan ucapan yang karam dalam wajah Allah ini. Seumpama tuduhan sesat, gila, menyeleweng dan sebagainya.
Kalam makrifat ini terlalu halus untuk dimengertikan oleh orang awam. Kerana terlalu halus hingga menyebabkan mata hatinya tidak dapat memandang dan melihat pengertian sebenar ucapan dari mereka yang sudah karam dalam “zauq” terhadap Allah. “Zauq” dalam wajah Allah.
من لم يذوق لا يدري
Siapa yang tak pernah rasa tidak akan mengetahui
Sebab itu jangan menuduh sewenang-wenang kalam yang terbit dari mulut Al-‘Arifeen Billah. Kerana kalam mereka terlalu halus untuk difahami. Untuk memahami kalam yang halus ini, anda haruslah mengupgredkan martabat nafsu anda sehingga mencapai nafsu yang tertinggi. Sekurang-kurangnya Nafsu Muthmainnah iaitu nafsu yang keempat. Yang merupakam permulaan jalan bagi ‘arifeen billah.
Apabila anda sampai ke martabat tertinggi dalam martabat nafsu, maka hati anda akan sihat dan saleem. Maka Allah akan memancarkan nur dari sisi-Nya yang dapat menerangi mata hati anda sehingga anda dapat memahami perkara yang halus-halus.
Di zaman akhir ini, ramai yang tidak dapat memahami hakikat diri mereka. Sehingga mereka menyangka bahawa ketika mereka menunaikan solat, berpuasa, mengerjakan haji dan umrah dan apa jua ibadah dan kerja yang mereka lakukan, mereka menyangka bahawa merekalah yang melakukan semua perbuatan itu. Jika mereka yang melakukan perbuatan itu semua kita nak tanya dari mana mereka dapat kekuatan untuk melakukan semua perbuatan itu? Adakah mereka cipta sendiri kekuatan itu. Jika Allah takdirkan mereka mendapat penyakit lumpuh, kenapa mereka tak mampu gerakkan tangan mereka sendiri jika mereka kata bahawa merekalah yang mencipta kudrat dan iradat mereka dan bukannya Allah yang cipta semua af’al dan perbuatan mereka.
Inilah umat akhir zaman yang kehilangan nilai diri sebenar dan tak mengenali diri mereka sendiri. Sehingga sanggup meletakkan Allah di belakang mereka. Inilah gejala keruntuhan harga diri di kalangan umat Islam akibat dari ilmu makrifat yang dikesampingkan. Kita nak tanya adakah ilmu makrifat diajar di sekolah rendah atau di sekolah menengah. Ilmu makrifat tidak diajar sama ada di peringkat rendah, menengah, pengajian tinggi dan juga universiti. Al-Azhar pun tak ajar ilmu ini. Kenapa ilmu ini tak diajar? Ini adalah kehendak Allah juga ianya tersembunyi. \
Namun dekat-dekat nak kiamat ini, dan Imam Al-Mahdi akan muncul tak berapa lama lagi, ilmu makrifat ini muncul semula hasil didikan yang berterusan dari ulama tersohor dan ternama iaitu Tok Kenali rahimahullah. Tersebar secara mulut ke mulut, dia mengajar anak murid dan mendidik anak-anak muridnya sehingga ada yang mencapai taraf wali seumpama Sheikh Muhammad Said Linggi, dan dikembangkan lagi ilmu ini tanpa rasa gentar biarpun dituduh sesat oleh Tuan Guru Hj Shaari bin Tuan Guru Hj Mohd Yusuf Che Wook.
Sepatutnya kita rasa gembira dan berbesar hati asas pengorbanan orang makrifat seperti Tuan Guru Hj Shaari, Marilah kita bersama-sama mendalami ilmu ini sementara masih ada lagi dan masih hidup lagi Tuan Guru Hj Shaari. Kerana dengan pengajian ilmu makrifat inilah akan dapat melahirkan ratusan wali-wali Allah yang akan dijadikan sebagai tentera yang akan bersama dengan Imam Al-Mahdi di dalam peperangan dunia ketiga yang pasti akan tercetus nanti.
Dengan terbukanya mata hati tuan-tuan setelah mengenali Allah, diharap akan dapat mengetahui fitnah dajjal yang sebenarnya kita hidup di dalam fitnah Dajjal ini tanpa kita sedari.
Semoga pencerahan yang sedikit ini dapat membantu anda ke arah mengenal Allah melalui Allah.
 
 
 
 
 
Penghujung Ilmu Makrifat Itu, Adalah …
Mereka yang berjaya sampai kepada tahap makrifat itu, adalah mereka-mereka yang telah mencapai makam atau tingkatan ilmu kerohanian yang tertinggi. Tahap atau maqam ilmu makrifat yang tertinggi itu, adalah tahap pencapaian atau tahap persinggahan ilmu pada garisan penamat yang penghabisan dan terakhir. Inilah yang dikatakan pencarian di penghujung tujuan.
 Ucapan, perasaan atau pengakuan qalbu dihujung pencarian itu, adalah qalbu yang meluap, pecah dan meletup dengan ucapan
لاحول ولا قوة إلا بالله العلي العظيم
(tiada daya upaya kita, melainkan segalanya dari Allah).
Perkataan yang lahir dari pandangan qalbu itu, tidak lagi boleh menurut pengertian akal. Bilamana pengertian qalbu, tidak lagi dapat dibaca oleh akal itu, maka lahirlah perkataan  “aku tidak ada”. Bahasa pengakuan hati atau bahasa pengakuan qalbu yang makrifat kepada Allah Taala itu, tidak lagi boleh berdalil, bersandar, berpaut atau bergantung lagi pada akal!. Segala ikhtiar atau usaha akal kita itu, sesungguhnya sudah berakhir, binasa dan karam kerana tenggelam dalam lautan makrifat Allah. Inilah yang dikatakan penamat, penutup dan ibu segala ilmu!.
 Sekiranya tuan-tuan lalu  ditepi sungai, saya minta tuan-tuan kutip seketul batu dan campakkan ia ke dalam sungai yang dalam. Saya mahu bertanya, apakah lagi yang tuan-tuan nampak dan apakah lagi yang terlihat, cuba jawab?……………………..Begitulah dalil dan contohnya jika diri kita, kita tengelamkan atau campakkan kedalam dasar lautan makriffat!.
 Makrifat (mengenal Tuhan) itu, adalah tauhid. Tauhid itu, adalah hijrah akal menuju qalbu dalam mengesakan Allah!. Hijrah akal menuju qalbu, itulah intipati ilmu makrifatullah.  Hijrah akal menuju qalbu itu, adalah hijrah jahil kepada alim. Hijrah akal kepada perbicaraan qalbu para-para arifin billah itu, membawa kita kepada ilmu mengesakan Allah  (penutup segala ilmu). Hijrah akal kepada makam qalbu inilah yang menyebabkan arifin billah seperti Dzunnum Al-Misri, Al-Junaid Al-Baghdadi dan Al-Halaj dihukum bunuh. Tidak kurang pula di tuduh ilmu salah, kafir, sesat, pelik dan zindik.
 Maaf  Kiranya Saya Keterlaluan
 Kebanyakkan dari ulamak kita, tidak ramai yang didedahkan dengan pengajian ilmu makrifat (ilmu rohani). Ketidak pakaran dalam ilmu makrifat itu, bagaimana mungkin mereka boleh menghukum ulamak-ulamak yang mengajar ilmu makrifat itu, sesat atau salah?. Jika sekiranya pihak ulamak feqah mendakwa yang mereka juga memiliki kepakaran dalam bidang ilmu makrifat, cuba jelas dan terangkan kepada kami, di manakah sekolah, di manakah pondok atau di manakah pusat-pusat pengajian tinggi yang mengajar ilmu makrifat. Mari kita tanya ulamak feqah, di mana mereka belajar ilmu makrifat, supaya kita juga boleh dengan beramai-ramai turut serta menuntut di tempat yang didakwa itu!.
 Cuba tuan jawab pertanyaan saya secara jujur dan secara ikhlas, selama tuan-tuan hidup dan tinggal dibumi Malaysia ini, pernahkah kita jumpa pusat-pusat pengajian ilmu makrifat?. Samaada berupa pengajian pondok, pak guru, pak Ustaz atau pusat-pusat pengajian tinggi yang mengajar atau yang menyediakan bidang pengajian makrifat?. Sedangkan tidakkah kita tahu yang bidang ilmu makrifat itu, adalah bidang ilmu yang wajib, bidang ilmu fardhu ain (suatu bidang ilmu yang wajib) bagi setiap umat yang bergelar Islam!. Tidakkah tuan-tuan tahu, apakah itu ertinya wajib?.
 Ulamak feqah selalu menuduh ilmu makrifat itu sesat, salah dan sebagainya. Disini saya ingin bertanya, yang dikatakan ilmu makrifat itu sesat atau salah itu, apakah ulamak feqah pernah menuntut ilmu makrifat?. Sekiranya jawapan memihak kepada belum, bagaimana tuan-tuan feqah boleh menuduh sesat?.
 Fakta atau kenyataan sesat yang tuan-tuan feqah bawa itu, dari mana asasnya dan dimana ulamak-ulamak feqah, belajar atau berguru ilmu makrifat, sehingga dapat menuduh sesat?. Saya sebagai pengarang ilmu makrifat yang sudah  berkecimpung dalam bidang ini selama 38 tahun, saya tidak pernah jumpa ada pusat pengajian ilmu makrifat, guru atau sekolah ilmu makrifat, baik di dalam negeri mahupun di luar negara!. Dengan berbekalkan ilmu syarie, ilmu fiqah atau dengan berbekalkan dengan ilmu akal, apakah layak tuan-tuan feqah menuduh, menangkap dan menghukum golongan makrifat, sebagaimana yang berlaku kepada pentadbiran-pentadbiran terdahulu?.
 Namun pesan dan nasihat saya kepada para arifin billah sekalian yang ada, terutama kepada yang memperjuangkan ilmu makrifat, hadapilah kenyataan pemerintah dan golongan feqah hari ini dengan tabah dan jangan sekali-kali berputus asa. Kayu ukur atau tanda aras pentadbiran ulamak atau pemerintah yang ada pada dunia hari ini, untuk menghukum adalah melalui bacaan ilmu akal (hukum feqah). Mereka tidak sekali-kali memandang pada bacaan ilmu rohani (Ilmu makrifat). Mereka tidak faham apa itu bahasa makrifat! Seperti:


Ø  diri yang fana’,
Ø  diri yang lebur,
Ø  diri yang  baqa’ atau
Ø  diri yang karam dengan Allah


Bilamana tidak faham dan tidak arif dalam bidang ilmu fana’ atau ilmu baqa’, mana mungkin golongan yang berilmu feqah itu dapat menyelami ilmu makrifat!. Bilamana tidak faham ilmu makrifat, itulah sebabnya tuduhan demi tuduhan mereka lontarkan kepada pengamal ilmu makrifat!. Mereka itu, hanya berpandukan kayu pengukur ilmu feqah, untuk menghukum dan menuduh kesesatan ilmu makrifat. Yang menjadi mangsa ulamak feqah itu, adalah orang-orang yang berilmu makrifat. Itulah makanya golongan makrifat itu,  selalu dituduh sesat dan selalu dipandang salah dimata golongan ahli feqah.

           System pendidikan pada hari ini, banyak mengeluarkan ulamak dengan berbekalkan kelulusan ilmu feqah. Kemanakah hilangnya system pendidikan untuk mengeluarkan ulamak makrifat?.Dengan menuduh, menangkap, menghukum dan melebel mereka-mereka yang mengajar ilmu makrifat dengan ajaran sesat, salah dan menuduh ilmu makrifat itu, sebagai ilmu yang boleh memesongkan akidah orang ramai, apakah ada ulamak feqah bercadang untuk mengajar ilmu makrifat yang tidak salah?.  Menuduh salah itu memang teramat senang, tetapi manakah ilmu makrifat yang tidak salah?. Bilamana ilmu makrifat itu didapati salah tetapi manakah makrifat yang benar?. Kebanyakkan mereka hanya tahu menghukum ilmu makrifat itu salah, tetapi tidak ada ulamak feqah yang berani untuk mengajar dan menunjuk jalan ilmu makrifat yang benar?. Bilamana salah, mana yang benarnya?. Siapa, dimana dan kemana perginya ilmu makrifat yang benar?. Kenapa tidak diajar atau diadakan kelas pengajian yang khusus tentang ilmu makrifat?. Kemana hilangnya ilmu makrifat?. Cuba jawap pertayaan itu……………………………………

Dengan berbekalkan ilmu feqah yang telah mereka pelajari itu, saya nasihatkan kepada ulamak-ulamak feqah, jangan sewenang-wenangnya mudah menuduh ulamak ilmu makrifat itu salah!. Sebenarnya yang salah itu, adalah diri tuan-tuan sendiri, yang tidak pernah mendekati dan tidak pernah menghampiri ilmu makrifat!. Sekiranya tuan-tuan dan puan-puan sekali menceburkan diri ke dalam bidang ilmu makrifat, saya pasti dengan sesungguh pasti, tuan-tuan tidak akan menuduh ilmu makrifatlah itu salah! tempat perhentian atau tempat persingahan terakhir pencarian mereka!.

Sesungguhnya bidang ilmu makrifat itu, adalah cabang ilmu rohani (ilmu mantik) yang tidak memungkinkan difahami oleh kebanyakkan ulamak feqah. Jika kita tidak faham ilmu makrifat, sekurang-kurangnya jangan mudah menuduh sesat kepada golongan makrifat!. Ulamak keluaran dari pusat pengajian tinggi itu, hanya belajar dalam bidang ilmu feqah sedangkan mereka tidak pernah dididik atau didedah dengan ilmu makrifat!. Mana mungkin akan memahami ilmu makrifat!.  Namun siapa yang akan peduli dan siapakah yang akan faham luahan hati orang-orang makrifat!, Saranan demi saranan diutarakan kepada pucuk pimpinan agama, namun keluhan serta laungan kita itu, sekadar menjadi menjadi hiasan mata dan hawa telinga mereka semata-mata.  Pun begitu, kita tidak boleh sekali-kali memandang rendah atau menyalahkan penjawat awam atau menyalahkan para ulamak feqah dalam hal ini. Mereka-mereka itu, terdidik dan terasuh dengan ilmu feqah tanpa didedahkan dengan  ilmu makrifat. Selayaknyalah mereka begitu!.

           Kita harus sadar bahawa tanpa sekatan atau tanpa pemantauan, sudah tentu gejala ilmu makrifat yang benar-benar sesat akan memenuhi ruang negara kita, jika ianya tidak dikawal oleh golongan ulamak feqah, sudah tentu ilmu makrifat yang benar-bnar salah akan berleluasa!. Dengan adanya ulamak feqah dan pihak jabatan agama serta pemerintah syariat, sekurang-kurangnya dapat mengawal pertumbuhan ilmu yang benar-benar salah dan sesat!. Para ulamak feqah sudah sedaya upaya mempertahankan kesucian agama Islam yang suci ini, supaya ianya terkawal, terpelihara dan terbela dengan baik mengikut pandangan serta perundangan negara. Untuk itu, jangan kita menyalahkan seratus peratus kepada golongan feqah, namun dalam masa yang sama, pihak feqah pula jangan selalu menuduh atau berpandangan serong terhadap golongan ulamak yang berilmu makrifat!. Kerana ilmu makrifat itu, adalah persingahan terakhir segala ilmu! (ibu segala ilmu).

Ilmu Makrifat Itu, Adalah Ilmu Yang Melewati Khayalan Akal!

Konsep ilmu ketuhanan orang arifin billah yang berilmu makrifat itu, adalah konsep ilmu yang melewati khayalan akal atau mengatasi kenyataan akal. Konsep ilmu ketuhanan para-para arifin billah yang berilmu makrifat itu, adalah berlandaskan hanya dengan satu jalan, satu konsep, satu kaedah dan satu cara, iaitu jalan fana’, jalan baqa’ dan jalan berserah diri kepada Allah Taala.  Berkonsepkan hanya Allah yang wujud, hanya Allah yang ujud dan hanya Allah yang maujud”.

           Kenyataan atau pendapat ahad itu, bukan berlandas atau bukan berkonsepkan kepada konsep hulul atau konsep wahdatul wujud!. Konsep ilmu makrifat itu, adalah konsep mengEsakan Allah Taala. Konsep mengEsakan Allah Taala itu, adalah konsep yang tidak berdalil kepada sebarang konsep dan konsep yang tidak pergantungan kepada dalil akal!. Allah itu, adalah Allah. Allah yang tidak ada seumpama, tidak seumpama sebagaimana yang difikir oleh akal, oleh angan-angan atau khayalan.

Makrifat itu, adalah konsep yang sudah tengelam dalam lautan makrifat kepada Allah!. Iaitu konsep yang menenggelamkan diri dalam lautan ahadiah (ahad atau Esa). Iaitu suatu konsep yang semestinya tidak difahami oleh akal!. Konsep yang melewati khayalan atau melewati kenyataan akal!. Untuk memahaminya hendaklah tuan-tuan ceburkan diri tuan-tuan kedalam kolam air makrifatullah!.

Ilmu Makrifat Bukan Konsep Yang DiBuat-Buat!

(Tetapi Dari Ilmu Rasulullah Dan diperturunkan hingga sampai kepada Imam Al-Ghazali Sendiri)

Pendapat, pegangan, pengakuan serta fahaman ilmu makrifat itu, sesungguhnya bukan dibuat-buat atau diada-adakan tetapi ianya, adalah datangnya dari Baginda Rasulullah dan disambung oleh para sahabat dan Imam Al-Ghazali sendiri. Namun tidak ramai yang mendalami, menyelami dan memahaminya!.  Konsep ini, adalah satu-satunya konsep yang boleh menunjang tauhid kedalam qalbu para arifin billah, sebagaimana iman Ghazali sendiri. Inilah makam tauhid, makam ilmu rasa dan makam ilmu para arifin billah terdahulu!. Yang menjadi pegangan, pengakuan dan yang menyebabkan menunjangnya keyakinan tauhid kepada Allah Taala. Ilmu makrifat itu, merupakan inti tertinggi para ulamak arifin billah terdahulu. Yang mana sesungguhnya tidak sedikitpun menjadi percangahan atau berlawanan dengan konsep Ahli Sunnah Waljamaah!.

Soalan: Kenapa ilmu ini hilang dan siapa yang hilangkannya?

Ilmu makrifat dan ilmu hakikat ini hilang  dan dihilangkan oleh tangan-tangan yang tersembunyi iaitu penjajah barat (atas keizinan Allah jua) apabila mereka menjajah tanah melayu dan membawa undang-undang ciptaan mereka. Sehingga sekarang kita melaksanakan undang-undang ciptaan barat. Penjajah barat telah bertahun-tahun mengkaji dan menyelidik kekuatan sebenar umat Islam sehingga mereka kalah teruk dalam peperangan salib dahulu. Hasil kajian mereka, mereka dapati ilmu makrifat dan ilmu hakikat inilah punca kekuatan umat Islam terdahulu. Iaitu berpunca dari Allah sendiri. Jadi mereka merancang rapi supaya ilmu ini tidak disebarkan dan diajarkan. Segala buku dan kitab karangan ulamak tentang kedua-dua ilmu ini mereka larikan. Ulamak yang mahir dengan ilmu ini mereka tangkap dan penjarakan. Akhirnya ilmu ini terpisah dari arus pendidikan sehingga umat Islam tidak sedar bahawa mereka sebenarnya ditipu secara halus. Rata-rata umat Islam sudah merasa cukup dan memada dengan amalan syari’at sahaja. Jikalau Islam ini hanya terletak pada syari’at sahaja kenapa hingga hari ini semakin hari semakin teruk prestasi umat Islam. Kalau dahulu tidak ada kes pembuangan bayi tetapi hari ini kes buang bayi amat parah. Sehingga ada ilmuan Islam yang sampai PhD memberi fatwa bahawa kerja pelacur dimaafkan jika terpaksa sebab kesempitan hidup. Ada juga ustaz-ustaz yang memperlekehkan undang-undang hudud, dia kata isu hudud ini akan muncul ketika pilihan raya, sama dengan lagu hari raya akan berkumandang ketika hari raya, maka begitu juga isu hudud berkumandang ketika pilihan raya. Inilah contoh-contoh ilmuan Islam yang tertipu dengan ilmu yang dimilikinya (ilmu feqah) dan sudah pastinya dia tidak memiliki ilmu hakikat dan ilmu makrifat. Jika dia dakwa tahu juga ilmu makrifat, kita nak tanya dia, dari mana dia belajar, pondok mana? Sekolah mana? Dan universiti mana? Kita pun nak tumpang belajar.

Sedarlah ilmu ini hanya dapat disampai dari mulut ke mulut sahaja disebabkan kekangan yang ada. Maka hari ini kita dapat pelajari kedua-dua ilmu ini sebab ada orang yang sanggup menggadaikan nyawanya untuk sampaikan ilmu ini. Tinggal kepada kita adalah menerima sahaja dan belajar dengan tekun untuk mendapat semula hidayah yang asli sebagaimana sahabat dapat dahulu.

           Hanya bagi yang tidak arif dengan ilmu makrifat sahaja yang memandang bahawa ilmu makrifat itu, salah atau sesat!. Sedangkan hanya melalui ilmu makrifat sahajalah satu-satunya ilmu yang boleh membawa, mengarah dan menghala hati-hati kita kepada arah mengEsakan Allah Taala. Inilah konsep dan inilah ilmu yang dibawa oleh Baginda Rasulullah, semasa mula-mula Baginda berpindah dari Kota Makkah ke Kota Madinah!. Iaitu konsep ilmu tauhid atau konsep ilmu megEsakan Allah Taala.

Soalan :

Bagaimanakah caranya untuk mengatakan yang Allah itu benar-benar Esa?.

           Untuk menyatakan yang Allah itu benar-benar Esa, ianya bukan dengan sebutan kalimah syahadah, bukan dengan mengerjakan ibadah sembahyang,  puasa, zakat atau bukan dengan ibadah perkerjaan ibadah haji!. Menyatakan keEsaan Allah itu, adalah hendaknya dan sepatutnya sebelum melafazkan  kalimah syahadah, sebelum ibadah sembahyang atau sebagainya!. Menyatakan Allah itu, bukan perkara untuk dinyatakan sesudah sembahyang atau bukan untuk dinyatakan didalam waktu ketika tengah sembahyang, apa lagi diketika sesudah sembahyang!. Bagi menyatakan Allah itu, bukannya semasa didalam berpuasa atau selepas berbuka puasa!. Ataupun bukan didalam ketika menyebut perkataan syahadah!.

           Ilmu makrifat itu, adalah ilmu menyatakan Allah (ilmu menyatakan keEsaan Allah), ilmu mengEsakan Allah dan ilmu menzahirkan Allah, dengan nyata dan senyata-nyatanya!. Bukan ilmu hanya bercakap di bibir!. Kita boleh menyebut perkataan syahadah (perkataan mentauhidkan Allah) sebanyak mungkin yang kita mampu menyebut, tetapi Islam itu bukan agama bunyi atau agama suara yang keluar dari lidah atau dibibir!. Islam itu, adalah agama benar, agama nyata dan agama pasti!. Kemuskilannya disini, apakah tuan-tuan telah nyata Allah, sebagaimana nyata dan lantangnya suara yang keluar dari kedua bibir mulut tuan-tuan?.

           Ilmu makrifat itu, adalah ilmu yang tidak sekali-kali mengasingkan Tuhan dengan alam!.  ilmu makrifat itu, adalah ilmu mengEsakan Allah, iaitu ilmu yang tidak menduakan Allah (tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu). Ilmu makrifat itu, adalah ilmu yang tidak mewujudkan Allah dengan wujud yang lain selain Allah Taala.

Ilmu makrifat itu, adalah ilmu yang tidak memandang bahawa Allah dan makhluk itu, dua wujud yang berbeza atau “dua yang bersifat wujud”. Dari kaca mata ilmu makrifat, barangsiapa yang memandang, barangapan atau beriktikad bahawa adanya wujud Allah dan adanya wujud alam makhluk, bersama-sama dengan wujud Allah, maka hukumnya adalah syirik. Allah lain dan makhluk lain itu, maka terputuslah seluruh kesedaran batinnya terhadap Allah Taala dan terputus juga kesedaran rohaninya terhadap makhluk. Tetapi jangan pula hendaknya disatukan makhluk dengan Allah!, Ingat itu………………….

Allah dengan makhluk itu, bercerai tidak dan bersatu tiada, ini adalah terjemahan mengikut suluhan bahasa makrifat dan bahasa rohani yang tidak sama sekali difahami atau dimengerti oleh akal, apa lagi oleh ahl ilmu feqah. Allah dan makhluk itu, bercerai tidak dan berpisah tiada!.Sebagaimana kata orang tua-tua kita dahulu, belajar ilmu makrifat itu, susahnya “seumpama mati”, manakala setelah mengenal makrifat, senangya “seumpama tidur”. Belajar ilmu makifat itu, senang, mudah dan tak payah. Belajar ilmu makrifat atau ilmu megenal Allah itu, hanya memakan masa tak habis sebatang rokok.

           Apa tidaknya, terang cahaya mata hari itu, terang lagi Allah, dekatnya  mata putih dengan mata hitam itu, dekat lagi Allah, mana mungkin mengenal Allah itu payah!. Mengenal Allah itu, adalah ilmu yang paling senang dan paling mudah, berbanding dengan ilmu-ilmu yang lain. Allah tidak terhijab atau terdinding, tidak tertutup atau terhalang oleh sesuatu!. Masakan kita tidak mengenal Allah dengan mudah!. Mudahnya sekolah tadika atau sekolah kafa itu, mudah dan senang lagi ilmu mengenl Allah!. Kenapa tidak kenal?……………………………………….

           Ini bukan bertujuan untuk menerap nilai-nilai hulul atau unsur-unsur wahdatul wujud!. Ini semata-mata bertujuan untuk membuka mata pihak-pihak yang mendakwa bahawa para ulamak makrifat itu salah atau sesat.  Tafsir kalimah ahad, ianya adalah suatu perkara yang berbeza berbanding dengan tafsiran kalimah wahdatul wujud!. Selama ini pihak berwajib mahupun ulamak fiqah menuduh pengamal ilmu makrifat itu sesat, salah dan sebagainya dalam mentafsir ulamak makrifat itu telah menyamakan antara wujud Allah dengan wujudnya makhluk. Terkeliru dengan itu, lalu mendakwa dan menuduh pengamal ilmu makrifat itu, mengamalkan ajaran wahdatul wujud atau hulul.

Sebenarnya ilmu makrifat sejati dan sebenar itu, tidak menyamakan Allah dengan makhluk, tetapi tidak juga memisahkan dengan makhluk!. (bersatu pun tidak, berpisah pun tidak) Seumpama “asap bukan api, tetapi tidak lain dari api”. Atau tak lain dan tak bukan melainkan api juga.Faham itu baik-baik dan jangan keliru.

Punca ulamak fekah menuduh ilmu ini dan pengamalnya sesat adalah kerana ulamak fekah biasanya tidak mahu terlibat dengan tareqat tasauf sebab dituduh sesat. Apabila mereka tak mahu terlibat dengan tareqat maka nafsu mereka tak berjaya dinaiktarafkan atau bahasa mudahnya “di upgredkan” ke martabat muthmainnah yang mana nafsu muthmainnahlah yang Allah janjikan syurga. Sila rujuk kitab Sirrus Salikeen jilid 3 edisi rumi, dieditkan semula oleh Ustaz Fahmi Zamzam  halaman 17 baris ke 13 dari atas:

Dan martabat yang kedua ini (martabat nafsu lawwamah) iaitu permulaan jalan orang yang menjalani  tariqat dan kesudahan marabat ulamak yang belum menjalani akan tareqat

Jika sekiranya ulamak yang tersohor namanya yang masih belum menjalani tariqat sufi malahan menganggap tak perlu sertai tareqat sufi serta mengira sudah cukup dengan ilmu syari’at yang mereka pelajari, nafsu mereka berada di tangga nafsu lawwamah, bagaimana pula dengan mereka yang bukan bertaraf ulamak? Di dalam kitab Sirrus Salikeen jilid 3 edisi rumi; menyatakan perihal nafsu kedua iaitu nafsu lawwamah iaitu mereka-mereka yang bernafsu lawwamah itu ada dalam jiwa mereka sifat mazmumah seperti ujub, riyyak, sombong dan sebagainya. Ini menyebabkan mata hati mereka buta atau kelabu sehingga tak dapat membezakan mana yang benar dan mana yang salah. Ini disebabkan nur Allah walau betapa terang sekali pun cahaya itu, namun  tidak dapat menunjuk jalan kepada orang yang buta mata hati, sebagaimana mereka yang buta mata kasar tidak akan dapat selamat dijalanan kecuali dipandu oleh orang yang matanya tidak buta.

Punca yang menyebabkan berlakunya buta mata hati adalah disebabkan nafsu ammarah yang tidak dibasuh dengan amalan tasauf dengan cara mengambil zikir dari guru mursyid dan mengikut panduan yang dibimbing oleh guru mursyid. Jika kita sakit jasmani kita cari doktor pakar dan meminta nasihatnya, di mana doktor pakar akan mengesyorkan apa yang perlu dimakan dan yang tidak boleh dimakan. Maka doktor pakar bagi penyakit rohani adalah guru mursyid, dimana guru mursyid dapat melihat dalaman kita dan menegur serta memberi panduan bagaaimana nak bersihkan hati. Sayangnya guru mursyid seperti ini amat jarang ditemui. Jika ada pun hanya segelintir yang tahu dan mengenali mereka. Ustaz lulusan AL-Azhar sekali pun belum tentu layak diketegorikan sebagai guru mursyid.

Inilah dia nasib malang umat Islam memiliki ramai graduan dari Al-Azhar dan universiti tempatan yang bergelar ustaz tetapi tidak mampu menunjuk jalan yang benar. Ada guru makrifat yang cuba nak bimbing, mereka tuduh sesat pula. Sampai bila mereka nak tuduh sesat guru makrifat? Kasihan mereka yang nak cari kebenaran Islam.

روي عن ابن عدى ، والبيهقى فى شعب الإيمان عن على كرم الله وجهه قال: قال رسول الله e :يوشك أن يأتى على الناس زمان لا يبقى من الإسلام إلا اسمه ولا يبقى من القرآن إلا رسمه مساجدهم عامرة وهى خراب من الهدى علماؤهم شر من تحت أديم السماء من عندهم تخرج الفتنة وفيهم تعود

Diriwayatkan dari Ibnu Adi dan Al-baihaqi dalam Sya’bil Ilman ari Ali r.a. dia berkata: Sabda Rasulullah S.A.W. dibimbangi bahawa akan datang kepada manusia satu zaman dimana tidak kekal Islam itu kecuali pada namanya sahaja dan tidak kekal dari Al-Quran itu kecuali tulisan sahaja, masjid-masjid mereka makmur tetapi sunyi dari hidayah Alla, ulamak mereka adalah sejahat manusia di bawah langit dari sisi mereka keluarnya fitnah dan pada mereka akan kembali fitnah itu

Inilah janji Nabi S.A.W. dan inilah dia zamannya yang mana kita memiliki ramai intelektual Islam yang merupakan lepasan dari universiti-universiti yang hanya mengajar ilmu syari’at sahaja, tetapi ketandusan ilmu hakikat dan ilmu makrifat. Kita nak tanya kepada ustaz-ustaz zaman ini, apa yang mereka tahu tentang ilmu makrifat? Dan jika mereka tahu, kita nak tanya pula dari mana mereka belajar ilmu makrifat? Jika ada pondok-pondok, sekolah-sekolah dan universiti yang mengajar ilmu hakikat dan ilmu makrifat, cuba nyatakan mana satu pusat pengajian itu dan kita ramai-ramai akan masuk belajar ilmu ini. Tak ada pun yang mengajar ilmu ini.

Sebab itu ramai para wali yang tak mahu mencampuri manusia disebabkan tak sanggup hadapi kemelut ini. Dari dahulu ,kini dan selama-lamanya golongan wali ini mengasingkan diri dari orang. Sebab mereka nak jaga hati mereka. Jika sudah tak mahu ikut ajaran mereka lebih baik mereka bersunyi diri. Sebagaimana kata Abu Al-Qasim Al-Junaid r.a.

قال الأستاذ أبو القاسم الجنيد رضي الله تعالى عنه : من أرادسلم له دينه ويستريح بدنه وقلبه فليعتزل الناس فإن هذا زمان وحشة فالعاقل من اختار الوحدة.

 Sesiapa yang berkehendakkan supaya agamanya terselamat dan badan serta hatinya rehat hendaklah dia menjauhi orang ramai, maka sesungguhnya  zaman ini adalah zaman yang teruk maka orang yang berakal adalah mereka yang memilih untuk hidup berasingan (bersendiri) ( Kitab Pak Su Hamid)

وقال بعض الأئمة بعده : إن كانت حلت في زمنه فقد  وجبت في زمننا. وقيل لإبن المبارك رضي الله تعالى عنه : ما دواء القلب ؟ فقال قلة الحلاقاة.

Dan berkata sebahagian imam-imam selepasnya Jika adalah meruzlah itu halal (harus) pada zamannya maka sesungguhnya ber uzlah itu menjadi wajib pada zaman kita ini dan ada yang berkata kepada Ibnu Mubarak r.a. Apakah ubat bagi hati? Dia menjawab kurangkan kebersamaan dengan orang ramai ( Kitab Pak Su Hamid)

           Maka jika ada guru makrifat yang sanggup menggadaikan nyawanya untuk menyampai ilmu ini tolonglah beri laluan yang seluas mungkin dan jika anda tak mahu belajar ilmu ini, jangan pula sekat orang lain dengan fitnah anda dengan menyatakan ilmu ini sesat. Ingat nanti kita bertemu di hadapan RABBUL JALIL  tuan-tuan yang bijak pandai jawablah depan Allah nanti. Penyesalan di hari itu sudah tak berguna lagi. Sebelum tuan-tuan melalui gerbang “maut” selamatkanlah diri tuan-tuan dengan mempelajari ilmu makrifat ini yang hanya tinggal sedikit sahaja lagi yang ditinggalkan oleh Wali Allah Tok Kenali Al-Kelantani.

Semoga sedikit sebanyak coretan ini dapat mencerahkan kekaburan jiwa anda selama ini. Kami guru makrifat Tok Kenali tak nafikan peranan anda semua, tetapi janganlah duduk atas tangga anda itu kerana ada beratus ribu anak tangga yang anda perlu daki sebelum sampai kepada “rasa”  sebagaimana yang kami “rasa” selama ini. Kami tak nafikan kelemahan kami sebab manusia memangnya lemah dan yang kuat itu hanyalah Allah sahaja. Kita semua tahu bahawa hanya Allah sahaja Yang Mengetahui siapakah ahli syurga dan siapakah ahli neraka. Oleh sebab itu kita tak boleh mendabik dada mengatakan bahawa kita layak masuk syurga Allah. Sebab itu Saidina Umar Al-Khatab ada menyebut: “Semua orang masuk ke dalam syurga kecuali seorang lelaki dan aku bimbang orang itu adalah aku” Lihat seorang sahabat besar yang memang dijanjikan syurga pun masih berasa tidak layak menjadi ahli syurga. Bukan bererti dia tak beramal. Dia memang kuat beramal sebagaimana sahabat yang lain. Dia menyebut seperti itu adalah kerana merendah diri  di hadapan Allah. Sama sebagaimana Iman As-Syafie menyebutkan dalam qasidahnya:

إلـهي لست للفرداوس أهلا ولا أقوى على النار الجهيم فهب لي توبة واغفر ذنوبي فإنك غافر الذنب العظيم

Tuhanku aku tidak layak kesyurgaMu dan aku tidak mampu menghadapi neraka jahanam, maka kurniakanlah kepadaku taubat dan ampunilah dosaku maka sesungguhnya Kamu adalah Maha Pengampun dosa-dosa besar

Rintihan ini adalah mencerminkan betapa merendah dirinya Imam As-Syafei rahimahullah. Maka kita pun perlu merasai “rasa” ini iaitu merendahkan diri di hadapan Allah ketika kita menunaikan solat dan ketika melakukan ibadah yang difardukan dan yang disunatkan untuk sekian lama kita hidup.

 

 

1 comment:

  1. The 10 best casinos in Michigan - JTM Hub
    10 Best Casino Deals & Coupons 2021 - Enjoy online 대구광역 출장마사지 slots, blackjack and roulette 구리 출장안마 with JTM's huge 충청남도 출장샵 selection of slots and 전라남도 출장안마 table 안양 출장마사지 games!

    ReplyDelete